Perutusan Pengerusi

 

 

Segala puji-pujian dipersembahkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, ingin saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kerana diberi peluang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di Portal Rasmi Masjid Az-Zahrawi Hospital Kuala Lumpur ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jemaah kariah Masjid Az-Zahrawi HKL dan kakitangan Hospital Kuala Lumpur kerana memberi peluang kepada saya untuk menerajui Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid bagi sesi 2016 – 2018 ini.  Saya mengambil tanggungjawab ini dan menganggapnya sebagai satu amanah yang amat berat bagi membangunkan Masjid kita demi mencapai visinya iaitu menjadikan Masjid Az-Zahrawi HKL sebagai pusat ibadah yang dapat melahirkan ummah yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.

Alhamdulillah, melalui usaha keras AJK pada sesi yang lepas dan juga jawatankuasa yang ada sekarang, Masjid kita telah mendapat peruntukan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dinaiktaraf menjadi masjid 3 tingkat lengkap dengan kemudahan-kemudahan yang perlu termasuk bilik seminar, pejabat, ruang solat yang luas serta unit-unit kediaman petugas Masjid. Kerja-kerja naiktaraf ini telah pun bermula pada bulan Disember 2017 di tapak Masjid sedia ada.

Sementara itu segala aktiviti dan program Masjid masih dijalankan seperti biasa, namun lokasinya dipindahkan sementara waktu di Surau Kuarters HKL yang terletak tidak jauh dari Medan Selera dan Kompleks Kuarters HKL. Dalam tempoh pembinaan Masjid baru yang dianggarkan selama 2 tahun ini, solat Jumaat juga telah dilaksanakan di Surau Jumaat sementara ini. Maka amatlah diharapkan agar Surau ini juga mampu memberi ruang kepada kita untuk melaksanakan pengisian yang sewajarnya melalui program-program yang dapat memberi impak yang berkesan kepada semua jemaah.

Di samping itu, saya juga mengharapkan agar Masjid yang bakal dibina ini tidak hanya terbatas untuk kegunaan ibadat khusus sahaja seperti ibadat solat, sebaliknya konsep dan falsafah rumah Allah yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW, merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia harus juga dipraktikkan di Masjid kita ini.

Masjid seharusnya merupakan bahagian penting yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan umat Islam. Antara peranan yang boleh dilaksanakan di Masjid ini ialah seperti pusat pentadbiran, kaunseling kekeluargaan, penerangan dan maklumat, kebajikan, kaedah rawatan Islam dan kecemasan serta interaksi masyarakat.

Malah disebut juga, Masjid digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menerima dan bertemu dengan duta-duta asing serta tempat pemimpin-pemimpin Islam bersidang selain dijadikan sebagai madrasah dan tempat pengajian dan pembelajaran bagi menuntut ilmu tentang ajaran Islam.

Sementara itu, cabaran pada abad ke-21 menyaksikan golongan muda dijadikan sasaran budaya luar. Buktinya, ramai kalangan mereka semakin berani menonjolkan diri dengan budaya negatif dan tidak bermoral seperti mengamalkan gaya hidup Barat. Saya yakin gejala sedemikian dapat ditangani sekiranya masyarakat diajak mendekati ajaran agama dengan menjinakkan diri mereka ke masjid-masjid. Untuk itu, fungsi sebenar Masjid bagi melahirkan masyarakat Islam maju dan berakhlak mulia perlu dikembalikan semula seperti mana pada zaman Rasulullah SAW.

Masjid yang kita harapkan adalah Masjid yang berfungsi menghasilkan umat yang beriman, beribadah menghubungkan jiwa dengan Khaliq, umat yang beramal soleh dalam kehidupan masyarakat yang berwatak dan berakhlak teguh. Masjid yang hidup, dan memancarkan kehidupan, serta meningkatkan kualiti umat sejagat.

Sudah terbukti, memakmurkan Masjid mempunyai kesan positif bagi membina sebuah masyarakat berkualiti selain mampu meningkatkan kesefahaman yang kuat sesama ummah. Justeru setiap Muslim harus berperanan dalam memakmurkan Masjid. Untuk merealisasikan matlamat itu, tanggungjawab tidak hanya dipikul pihak AJK sahaja tetapi semua pihak perlu mengambil peranan untuk sama-sama mengimarah dan memartabatkan Masjid ini sebagai sebuah institusi Islam yang cemerlang.

Saya menyeru kepada semua jemaah agar sama-sama dengan AJK untuk menyumbang buah fikiran bagi membangunkan Masjid yang kita sayangi ini serta bersama-sama melibatkan diri dan memberi sokongan ke atas sebarang aktiviti yang dijalankan. Sama-samalah kita bersatu hati dan mengeratkan ukhuwah sesama kita demi untuk mendapatkan keredhaan Allah serta rahmat daripadaNya.  Mudah-mudahan segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT dan menjadikan ia saham berterusan untuk kita nikmati apabila kita meninggalkan alam fana ini.

Sekian, terima kasih.

 

DATO DR HAJI SHUHAIMI B. ISMAIL

Pengerusi Masjid HKL