Semuanya tercatit satu persatu

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

Surah Yasin : Ayat 12

Penjelasan :

Ayat ini menjelaskan bahawa setelah seseorang meninggal dunia, bukan hanya amalan yang telah dikerjakan sahaja ditimbang dosa dan pahalanya di sisi Allah s.w.t, bahkan segala kesan perbuatannya termasuklah kesan dari kata-katanya juga akan ditimbang dan diambil kira di sisi Allah s.w.t.

Contohnya, penyebaran ilmu dan dakwah menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instragram dan Telegram, boleh sahaja dilakukan hingga seseorang itu mampu mengumpulkan pahala jariah yang berterusan sehingga hari kiamat walaupun jasadnya sudah mati.

Sebaliknya jika aplikasi media sosial hari ini dijadikan alat penyebaran berita tidak baik dan maklumat-maklumat berupa fitnah atau ghibah, nescaya kita boleh terjerumus dalam kancah dosa-dosa jariah atau istilah yang digunakan oleh Imam Al-Ghazali sebagai maksiat jariah.

Kecenderungan berkongsi dan memviralkan maklumat serta berita yang belum dapat dipastikan kesahihannya boleh menempah diri kita kepada kecelakaan. Kecelakaan sebegini lebih buruk kerana, apabila maklumat yang disebarkan ini menjadi viral dan dikongsi pula oleh pelbagai pihak, dosa-dosa tersebut bagaikan virus yang membarah dan membesar kerana menjadi dosa jariah yang tidak mampu dibendung lagi. Akhirnya setiap kali orang membaca mesej yang diviralkan itu, setiap kali itu jugalah kita menanggung dosa-dosa jariah yang menyebabkan kita menjadi muflis di akhirat.

Rasullullah s.a.w dalam hadis sahih riwayat Muslim telah menjelaskan perihal orang yang muflis di akhirat ini. Mereka ini dianggap muflis kerana segala pahala kebajikannya sepanjang kehidupan di dunia akan berpindah kepada mereka yang dianiayainya kerana berita fitnah, tohmah, ghibah, kutukan, bahkan memakan harta secara tidak sah. Manakala dosa-dosa mereka yang dianiayainya itu berpindah kepada dirinya hingga tiada apa lagi yang tinggal untuk dipersembahkan kepada Allah s.w.t pada hari pembalasan kelak.

Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menyampaikan sebarang berita yang kita terima saban hari agar keghairahan “memviralkan” sesuatu berita atau maklumat yang belum sahih dapat dibendung.

0 thoughts on “Semuanya tercatit satu persatu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *